Wednesday, February 16, 2011

Ali Baba Bujang Lapok


DI PEKAN Persada Marjina telah di lelong dan dia telah dibeli oleh Kassim Baba dengan harga 1001 darham. Tujuan dibelinya Marjina itu ialah untuk membantu isterinya, Aloyah, yang terlalu banyak kerja rumah terpaksa dibuatnya. Kedatangan Marjina itu telah disambut baik oleh Aloyah.

Ali Baba (adik Kassim Baba) kerana dasar pemalasnya hidup dalam kemiskinan. Dia sentiasa saja datang ke rumah Kassim Baba meminjam gandum dan pada kebiasaannya kalau pinjam satu gantang kena bayar balik dua gantang. Mahu tidak mahu terpaksa Ali Baba menyetujuinya.

Sepulangnya dari meminjam gandum dan setelah dimarahi Kassim Baba, Ali Baba pula dimarahi isterinya, Norsiah, kerana pemalas dan tidak mahu mencari kerja. Bagaimanapun, Ali Baba memberi alasan bukan pemalas tetapi tulangnya "reput". Oleh kerana tidak tertahan dengan leteran Norsiah (kerana dimarahi oleh Kassim Baba ketika pergi meminjam gandum) dan mengugut pula yang dia akan pergi mencari rezeki, barulah Ali Baba beralah. Dia pergi ke hutan mencari kayu.

Ketika sedang memotong kayu tiba-tiba Ali Baba dikejutkan dengan kedatangan 40 orang penyamun yang sedang menuju ke gua dengan membawa barangan yang mereka samun.

Apabila penyamun-penyamun tersebut keluar pergi menyamun Ali Baba masuk ke gua apabila Chif Penyamun memberi kepadanya cara-cara membuka dan menutup pintu gua setelah Ali Baba menyatakan dirinya "reporter". Dengan mengambil hanya sedikit saja harta-harta penyamun itu, Ali Baba berubah dari miskin menjadi kaya.

Kemurahan hati Ali Baba menabur wang emas kepada orang ramai disertai pula menghadiahkan wang tersebut kepada Kassim Baba, pengintip (Sarjan Penyamun) memberitahu Chif Penyamun dan dia pun membuat rancangan menyamun rumah Ali Baba.

Kassim Baba mendesak Ali Baba supaya memberitahunya bagaimana dia memperolehi wang emas yang banyak itu dan kerana kejujurannya dan tidak tamak, Ali Baba pun memberitahu tempatnya iaitu di Bukit Korma – tempat 40 penyamun menyimpan barang-barang yang mereka rompak.

Ali Baba mengajar cara-cara masuk ke dalam gua iaitu membuka pintunya, "niat nyinson mata kaji, semar nyisen", kepada Kassim Baba, tetapi belum sempat Ali Baba mengajar cara-cara menutup pintu gua, "lampong isen, semar tilem", kerana ketamakannya Kassim Baba terus pergi ke gua membawa lori besar dengan niat untuk menyapu bersih segala harta yang terdapat dalam gua tersebut.

Bagaimanapun, belum sempat Kassim Baba membawa pulang harta-harta tersebut, Chif Penyamun dengan penyamun-penyamunnya pulang setelah berpesta merayakan "public holiday", Kassim Baba terperangkap dan ditangkap. Disebabkan Kassim Baba menyamun harta penyamun dia telah diadili, dan kemudian didapati bersalah dan dihukum kepalanya di pancung.

Bila Kassim Baba tidak pulang-pulang (atas desakan Aloyah), Ali Baba pergi ke gua di mana dia telah bertemu dengan mayat Kassim Baba dengan anggota badannya bercerai dan kemudian dibawanya pulang. Ali Baba menyuruh Apek Tukang Kasut menjahitnya sebelum dikebumikan.

Oleh kerana mayat Kassim Baba sudah hilang dari gua, Chif Penyamun telah mengarahkan Sarjan Penyamun pergi ke Baghdad mencari rumah Kassim Baba dan bila berjumpa hendaklah dibuat tanda pangkah. Melalui Apek Tukang Kasut, Sarjan Penyamun berjaya menemui rumah Kassim Baba lalu ditandanya pangkah di pintu rumah tersebut.

Tanda pangkah tersebut disedari oleh Marjina dan kerana meraguinya Marjina memadamkan pangkah tersebut dan dipangkahnya pula pintu tandas Apek Tukang Kasut. Bila serbuan dibuat bukan rumah Kassim Baba yang diserang tetapi tandas Apek Tukang Kasut yang menjadi mangsa dan akibatnya kesemua penyamun-penyamun terpalit dengan najis.

Kegagalan Sarjan Penyamun menyebabkan dia dihukum dan untuk tugas selanjutnya Chif Penyamun mengarahkan pula Tarosan pergi membuat intipan dan membuat pangkah jika bertemu dengan rumah Kassim Baba. Tarosan berjaya menemui rumah Kassim Baba lalu di pangkah di pintunya.

Bagaimanapun, bila didapati ada tanda pangkah di pintu rumah Kassim Baba, dengan kebijaksanaannya Marjina memangkah pula setiap pintu rumah yang ada di lorong Kota Baghdad itu. Apabila serbuan dibuat, Chif Penyamun dan orang-orangnya terkeliru dan sekali lagi penyamun-penyamun itu tertipu dan gagal.

Disebabkan dua kegagalan itu Chif Penyamun mengambil keputusan menyiasat sendiri dengan menyamar sebagai Saudagar Bermacam Minyak manakala penyamun-penyamun lain bersembunyi dalam takar minyak yang dibawa bersamanya. Mereka merancang merompak rumah Ali Baba tepat jam 12.00 tengah malam.

Kerana ketulusan hatinya, Ali Baba membenarkan Chif Penyamun bermalam serta membenarkan takar-takar minyak diletakkan di belakang rumahnya. Bagaimanapun Marjina, Aloyah dan Norsiah mendapat tahu orang yang bersama Ali Baba itu bukanlah Saudagar Bermacam Minyak tetapi Chif Penyamun yang bertujuan merompak dan seterusnya membunuh Ali Baba.

Kerana menyedari yang takar-takar minyak itu sebenarnya diisi dengan penyamun-penyamun Marjina, Aloyah dan Norsiah pun memasak minyak dan apabila panas lalu mereka siram ke dalam takar-takar tersebut yang mana menyebabkan kesemuanya terbunuh.

Apabila selesai tugas menyiram minyak panas itu, Marjina pula meluru ke arah Chif Penyamun lalu menikamnya dengan pisau iaitu sebelum dia sempat membunuh Ali Baba. Ali Baba marah kerana perbuatan Marjina itu, tetapi apabila dibuktikannya yang Chif Penyamun dan penyamun-penyamun yang lain berniat merompak dan membunuhnya barulah Ali Baba mengetahui keadaan sebenarnya.

Disebabkan Marjina sudah menyelamatkannya, Ali Baba pun membebaskan Marjina tidak lagi menjadi hamba. Kata Marjina selepas pembebasan itu: "Alhamdulillah syukur nikmat".


 Mediafire

No comments:

Post a Comment